Thursday 2 May 2013

Aktiviti 2 - Penyediaan katalog alamat internet (URL)

Menyediakan  katalog  alamat internet (url) berdasarkan butiran berikut:

a) 4  web  berita

i.  Tajuk :  Terap budaya integriti dalam P&P
URL :  http://www.utusan.com.my/utusan/pendidikan/20130429/pe_o1/Terap-budaya-intergriti_dalam_P&P

Sinopsis :
Guru disaran membudayakan elemen intergriti dan etika secara aktif dalam proses  pengajaran dan pembelajaran (P&P) sebagai satu usaha membina serta memelihara generasi masa depan yang ber budi pekerti mulia.  Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin berkata, pembudayaan integriti adalah satu proses berterusan yang turut melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa yang kini semakin terhakis.
" Dalam Institut Pendidikan (IPG), pembudayaan menuntut pemimpin bertindak sebagai suri teladan manakala anggota lain pula menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Penerapan  intergriti ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 agar setiap murid dipersiapkan untuk berani menghadapi cabaran dan menegakkan keadilan serta menyelesaikan konflik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pertandingan Akhir Pidato Intergriti Antara Institut Pendidikan Guru (IPG) Piala Menteri Pelajaran Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ii.   Tajuk :  Karisma cungkil potensi murid
URL :  http://www.utusan.com/utusan/pendidikan/20130429/pe_01/Terap-budaya-intergriti-dalam-karisma-cungkil-dalam Karisma-cungkil-potensi murid

Sinopsis :
Kemahiran berfikir merupakan salah satu elemen yang perlu dikuasai oleh murid seperti mana digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.  Melalui kemahiran ini, murid dapat menguasai pelbagai kemahiran supaya mereka berjaya mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan dapat berfikir secara kreatif di luar konteks akademik.
Selaras dengan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail Kemaman, Terengganu baru-baru ini telah menganjurkan Karnival Pendidikan dan Kokurikulum (Karisma) 2013.  Karnival yang berlangsung  selama empat hari itu bukan sahaja membuka peluang kepada murid menonjolkan kemahiran dan potensi diri dalam bidang-bidang akademik malahan juga bidang kokurikulum.  Pengetua sekolah itu, Roslina Zakaria berkata, sebanyak 76 acara dipertandingkan dengan melibatkan hampir semua murid sekolah berkenaan di sepanjang Karisma berlangsung.

iii.  Tajuk :  Green ROSE didik murid berinteraksi dengan alam
URL :  http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/201304229/pe_03/Green-ROSE-didik-murid-berinteraksi-dengan-alam

Sinopsis:
Sekumpulan penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya melengkapi murid sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran mengenai isu alam sekitar melalui program Green ROSE sejak tiga tahun lalu.  Dekan Fakulti itu, Prof. Dr. Hazita Azman berkata, Green ROSE bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan murid dengan kemahiran dan pengetahuan asas tentang isu alam sekitar masa kini terutama masalah perubahan iklim global dan pemanasan bumi.
"Murid sekolah dipilih sebagai sasaran UKM kerana golongan ini mudah dididik dengan ilmu yang baharu dan mereka merupakan pemangkin generasi akan datang yang akan membawa nama negara di mata dunia," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di UKM Bangi, Selangor baru-baru ini.
Di bawah program itu, murid diperkenal dengan konsep ROSE iaitu R untuk Reduce (mengurangkan), O iaitu Offset (mengimbangi), S bagi Substitute (menggantikan) dan E untuk Enhance atau mempertingkat.
Program ini diperkenal setelah UKM menyedari bahawa perubahan iklim boleh dilaksanakan di peringkat masyarakat dan untuk itu UKM menyasarkan murid bagi menyumbangkan kepada usaha tersebut.

iv.   Tajuk :  Biasiswa Mahathir bantu pelajar miskin
URL  :  http://www. utusan.com.m/utusan/Pendidikan/20130422/pe_01/Biasiswa-Mahathir-bantu-pelajar-miskin

Sinopsis:
Kolej Teknologi YPC IT-WEB memperkenal Biasiswa Tun Mahathir Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mengikuti Kursus Foundation selama setahun di kolej ini. Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, golongan pelajar yang berpendapatan rendah diberi keutamaan untuk menerima biasiswa tersebut dan mesti mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran (SPM) tahun lalu.
"Kita memilih nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada nama biasiswa YPC ini kerana menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan dan pencapaian cemerlangnya sepanjang memimpin negara suatu ketika dulu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kolej itu di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain biasiswa ini, menepati moto sebagai peneraju pendidikan yang berkualiti dengan yuran pengajian yang mampu dibayar, Kolej Teknologi YPC IT-Web turut menawarkan Biasiswa Utusan Malaysia-YPC.

b)  4  web/blog pembelajaran bahasa Melayu

i.   Tajuk :  Kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
URL :  http://www.ukm.my/penerbit/fx899-5.html

Sinopsis :
Globalisasi dan perkembangan teknik maklumat pada masa kini telah memberi kesan terhadap bidang pendidikan Bahasa Melayu.  Kementerian Pelajaran Malaysia pula telah membuat beberapa perubahan terhadap kurikulum, pedagogi, penilaian dan pengurusan pendidikan bagi menghadapi cabaran pada abad ini.  Perubahan semasa memerlukan guru bahasa mempunyai pengetahuan bahasa dan pedagogi yang mantap untuk digunakan di dalam bilik darjah.  Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik adalah yang berpusatkan murid di samping penyerapan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir dan teknologi maklumat serta berkomunikasi di dalam dan di luar bilik darjah.  Model dan teori tentang aspek kemahiran berfikir, iaitu kemahiran metakognitif dan kemahiran berfikir secara  kritis dan kreatif (KBKK) serta penggabungjalinan dengan teknologi maklumat (TMK) yang dapat dilaksanakan dalam pengajaran Bahasa Melayu.  Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu akan membantu para pendidik Bahasa Melayu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa serta dapat dijadikan panduan bagi menghadapi cabaran dan kekangan dalam pengajaran bahasa Melayu pada masa kini.

ii.  Tajuk  :  Pengajaran menggunakan bahan kartun berunsurkan pengajaran dan tauladan
URL  :   http://epulldpiukm.blogspot.com

Sinopsis  :
Penggunaan kartun sebagai medium pengajaran bermatlamat dan bernilai murni.  Kartun merupakan salah satu bentuk komunikasi grafik yang dipersembahkan secara menarik dan ringkas untuk menyampaikan maklumat dan pesanan. Oleh kerana sifatnya yang unik, kartun mampu meninggalkan kesan ingatan dan mengukuhkan ingatan manusia.  Kartun juga berfungsi untuk mendidik murid-murid ke arah menumpukan minat terhadap penggunaan kartun yang bermutu tinggi dari segi lukisan, mesej, dan sudut persembahan serta bahasa yang digunakannya.  Kartun boleh memperjelaskan maksud dan menggambarkan makna isi kandungan bahan  dalam bentuk yang lebih  mudah dan menarik. Misalnya, mudah difahami jika disampaikan dengan menggunakan bahan kartun.

iii.   Tajuk  :  Kata nama am dan kata nama khas
URL  :  http://pdpbahasamalaysiath4.blogspot.com

Sinopsis  :
Kata nama adalah golongan kata yang terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu kata nama am dan kata nama khas.
Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa tumbuh-tumbuhan, tempat, benda, dan sebagainya, secara umum berikut antara contoh yang boleh menjelaskan tentang kata nama am:
*   orang       :   ibu, ayah, polis, perempuan, lelaki.
*   haiwan     :   kuda, ayam, itik, buaya, harimau.
*   benda       :   telefon, televisyen, komputer, botol, kerusi.
*   tempat      :  sekolah, stadium, jalan raya, pulau, rumah.
Huruf pertama pada kata nama am mestilah ditulis dengan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda, sama ada benda yang bernyawa ataupun yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang.  Benda-benda yang tidak bernyawa ialah tajuk buku, nama bangunan, nama tempat, dan sebagainya. Perkataan nama khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas.  Berikut adalah contoh perkataan kata nama khas:
*  orang        :   Puan Julia, Dr. Danial, Cikgu Nurul, Encik Mohamad.
*  haiwan      :   Si Tompok,  Pak Belang, Sang Kancil, Sang Buaya.
*  benda        :   Proton Iswara, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, Hotel D'bayu.
*  tempat       :   Kota Marudu, Sabah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan.
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

iv.  Tajuk  :   Kata Perintah
URL  :   http://lamanbahasa.wordpress.com/tatabahasa_2/

Sinopsis :
Kata perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan menimbulkan gerak balas yang berupa tindakan.  Ayat perintah berfungsi sebagai ayat yang bermaksud suruhan, permintaan, silaan ataupun larangan.
~ Contoh kata perintah:
a.   suruhan  -  tolong
b.   permintaan  -  minta, harap
c.   silaan  -  sila, jemput
d.   larangan - jangan, usah.

~  Contoh penggunaan kata perintah dalam ayat:
a.  Tolong kembalikan buku cerita saya.
b.  Minta semua peserta bersedia.
c.  Sila masuk ke rumah saya.
d.  Jangan berdiri di situ.

c)   4 web/blog berkaitan sastera/bahasa/seni/budaya

i.  Tajuk  :  Kebudayaan Malaysia
URL    :   http://ms.wikipedia.org/wiki/kebudayaan-Malaysia

Sinopsis : 
Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman dan damai.  Tiga kaum yang utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India.  Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan membentuk 54% daripada populasi Malaysia. Melayu adalah kaum yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.  Kaum Melayu mempunyai pengaruh yang penting dalam arena politik di Malaysia.  Cina pula mewakili 25% daripada penduduk Malaysia dan tinggal di bandar-bandar besar di pantai barat semenanjung.  Kebanyakan kaum Cina beragama Buddha, Taoisme atau Kristian, berbahasa Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis atau Teochew dan lebih dominan dalam bidang ekonomi.  India pula membentuk 7.5% daripada populasi.  Kebanyakannya beragama Hindu, bertutur Tamil, Malayalam, dan Hindi.  Selain itu, terdapat juga kaum Sikh, Serani atau Eurasian dan kaum bumiputra lain.  Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia, tetapi Bahasa Inggeris digunakan secara meluas.

ii.  Tajuk  :  Penyerapan unsur asing dalam bahasa Melayu
URL  :  http://bmstpm.blogspot.com

Sinopsis  : 
Tidak ada bahasa di dunia ini yang tidak  dipengaruhi oleh bahasa asing, baik bahasa Inggeris, bahasa Cina mahupun bahasa Melayu. Sebagai bahasa yang pesat berkembang, bahasa Melayu banyak menerima pengaruh bahasa asing terutama dalam aspek kosa kata atau perbendaharaan kata. Pengaruh paling awal yang menyerap masuk dalam bahasa Melayu ialah pengaruh bahasa Sunskrit.  Pengaruh bahasa Sunskrit sungguh berkesan dan sangat besar sumbangannya terhadap bahasa Melayu secara keseluruhan. Penyerapan unsur asing dalam bahasa Melayu ini ialah satu proses yang mendorong bahasa penerima meminjam unsur-unsur yang terdapat dalam bahasa-bahasa asing melalui suatu cara/kaedah yang berperaturan dan sistematik.

iii.  Tajuk  :  Melayu lestarikan bahasa Melayu
URL :  http://www. Utusan.my/ utusan/sastera/20130428/sa_02/Melayu-lestarikan-bahasa-Melayu

Sinopsis :
Bahasa ialah media perhubungan yang diturunkan oleh maha pencipta dengan kerangka yang berbeza daripada agama wahyu.  Berbanding dengan agama, bahasa diturunkan sejajar dengan kewujudan bangsa.  Agama tidak diturunkan kepada kaum dan geografi, sebaliknya diturunkan secara umum untuk semua manusia di dunia.  Dengan hal yang demikian, hampir setiap bangsa mempunyai bahasanya sendiri.  Oleh sebab itu, bangsa Inggeris tidak mengamalkan bahasa Melayu dan bangsa Jepun tidak mengamalkan bahasa Perancis.
Dengan penurunan berdasarkan bangsa, bahasa menjadi anugerah kepada kaum berkenaan.  Oleh itu, bahasa Melayu ialah anugerah Allah kepada bangsa dan keturunan Melayu.  Lazimnya, sesuatu pemberian istimewa akan dijaga, dipelihara dan dibanggakan oleh penerimanya sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang memberi anugerah itu.  Untuk menjaga bahasa kita, kita hendaklah sentiasa menggunakannya dengan betul.

iv.  Tajuk  :  Peranan penulis membangunkan negara
URL  :  http://www.utusan.com.my/utusan/sastera/20130421/sa_03/peranan-penulis-membangunkan-negara

Sinopsis :  
Di negara-negara maju, sastera menjadi satu komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insan.  Kehebatan dalam industri tidak meminggirkan kesusasteraan malah diperhebatkan kerana istilah faktor yang menyuntik pertimbangan manusia. Kesusasteraan tidak pernah tersisih sebagai kelas kedua atau tiga kerana pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan.  Maka sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah masyarakat dan negara maju.  Sasterawan atau penulis yang baik adalah pemikir.  Daripada golongan ini, masyarakat boleh menumpang bahtera untuk menyeberangi lautan fikir yang luas terbentang tidak bersempadan. Pada masa sama sasterawan membentuk pola pemikiran ke arah pembangunan bukannya pemusuhan. Setitik tinta para sasterawan mampu mengubah segugus tanggapan terhadap sesuatu.  Dari sinilah, timbulnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang dengan syarat berani dan bijaksana untuk menggunakan pena untuk tujuan yang membina.
     

No comments:

Post a Comment