Sunday 5 May 2013

Aktiviti 5 : Pendidikan Bahasa Melayu

     3 posting berkaitan pendidikan bahasa Melayu
       
1.  Tajuk : Kukuhkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan
     Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka
     URL :  http://dbp.gov.my/lamandbp/main.phd?content=articles&ArticleID=760


Apabila Prof. Dr. Awang Sariyan menyatakan beberapa sebab yang menyebabkan kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercalar dan tergugat, memang tidak dapat dinafikan kebenaran yang disampaikan olehnya. Tetapi adakah ramai pihak yang menyedari hakikat permasalahan ini atau mereka tidak mengambil endah? Gambaran-gambaran senario yang dihadapi oleh bahasa Melayu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Awang seperti, ``Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib,'' merupakan satu gambaran ringkas tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.
Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Namun begitu sistem pendidikan yang ada pada hari ini seperti menidakkan kemampuan bahasa Melayu dalam mengembangkan ilmu. Hinggakan ada di kalangan para pelajar yang hanya mempelajari bahasa Melayu atas dasar keperluan peperiksaan sahaja.
Ini terutamanya apabila bahasa Melayu menjadi syarat untuk para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Tetapi bagaimana pula dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Adakah bahasa Melayu menjadi satu tiket syarat utama untuk pelajar melayakkan diri mereka masuk ke IPTS?Penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan haruslah dimulakan pada peringkat awal prasekolahan lagi, jangan sesekali membenarkan pihak sekolah mengecilkan ruang masa untuk pelajar mempelajari bahasa Melayu.
Bahkan pada peringkat sekolah menengah pula pelajar harus ditekankan lagi peri pentingnya bahasa Melayu untuk pelajar melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Jangan sewenang-wenangnya mengatakan cukup sekadar mendapat kepujian dalam bahasa Melayu untuk melayakkan pelajar lulus dalam peperiksaan yang diduduki tetapi semai dan tanam perasaan cinta kepada bahasa Melayu agar mereka tidak merasa malu untuk terus bertutur dan menggunakan bahasa Melayu.
Hakikatnya kini terdapat segelintir pelajar lepasan sekolah yang merasa malu untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu kerana sikap mereka yang terlalu mengagungkan bahasa asing.Bahkan dalam satu keadaan terdapat pelajar yang secara terus terang mengatakan tidak faham sekiranya pengajaran di dalam kelas disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun zaman persekolahan mereka bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Adalah mustahil untuk menerima hakikat pelajar yang baru meninggalkan zaman persekolahan dalam masa tidak sampai satu tahun sudah melupakan bahasa Melayu.


2.  Tajuk : Memartabatkan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan
     Sumber :  Berita Harian
     URL :  http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/pendidikan/7323-memertabatkan-bahasa-melayu-melalui-sistem-pendidikan-html



Kata orang jika kita hendak melihat apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan, lihatlah generasi muda kita sekarang. Hal ini bermakna sistem pendidikan merupakan landasan terbaik untuk membentuk generasi kita bagi merealisasikan aspirasi Negara. Dalam hal ini, sekolah dan institusi pendidikan diumpamakan seperti tapak tempat menyemai benih generasi masa depan. Manakala kurikulum sekolah pula merupakan inti pati yang akan disuntik ke dalam minda serta jiwa mereka. Oleh itu, jika hendak menyemai apa-apa juga aspirasi Negara dan membentuk generasi masa depan mengikut acuan kita sendiri, di sinilah tempatnya, begitu juga dala usahaa kita hendak memartabatkan bahasa Melayu.
Dalam hal ini, jika kita meninjau saranan Profesor Dr Awang Sariyan dalam Majlis Bicarawara Bahasa di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka yang lalu ada benarnya. Menurut beliau, pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan perlu dimantapkan semula iaitu bermula daripada prasekolah hinggalah ke pengajian tinggi. Menurut beliau lagi, penegasan perlu diberi kepada usaha pembudayaan bahasa sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Melayu dalam dua aspek iaitu:
i) Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 serta Akta Pendidikan 1996 dan

ii) Pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan kokurikulum sehingga ragam bahasa tidak rasmi seperti bahasa sembang intenet dan bahasa khidmat pesanan ringkas (sms) tidak sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.

Mungkin pada dasarnya saranan beliau tersebut bukanlah satu idea yang baru dan mungkin telah direncanakan dalam sistem pendidikan kita. Namun dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan masih belum mencapai matlamatnya, meskipun telah lima puluh tahun lebih kita merdeka.  Oleh itu, adalah wajar untuk pihak-pihak tertentu melihat semula kandungan yang ada dalam sstem pendidikan kita dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bandingan saranan beliau dengan usaha tersebut. Jika belum ada, adakan. Jika sudah ada, mantapkan dan tingkatkan pelaksanaan serta penguatkuasaan.
Ayuh, bangunlah kita perlu bangun dan sedar, jika bukan kita siapa lagi yang kita akan harapkan untuk mengalas tanggungjawab ini. Sekadar membicarakan dasar dan menggubal akta sahaja masih belum mencukupi, gerakkan dan kuatkuasakan pelaksanaannya. Tepuk dada, tanyalah selera dan fikir-fikirkanlah peranan yang perlu kita mainkan untuk mencapai matlamat ini.


3.   Tajuk  :  Kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan
URL  :  http://meehoongtiong.blogspot.com/2012/12/kepentingan-bahasa-melayu-dalam-sistem-html

 Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi awam. Akta Pendidikan 1996, perkara 17 yang menyatakan bahawa bahasa Kebangsaan perlulah menjadi pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan  kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini telah menampakkan kepentingannya.

            Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita telah menunjukkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan ilmu. Apabila bahasa ini digunakan maka bahasa Melayu dapat mengisi erti pendemokrasian pendidikan kerana sebahagian besar rakyat mendapat ilmu melalui satu bahasa sahaja. Langkah ini diambil bagi merapatkan jurang pendidikan kerana kita sudah mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang sama bagi semua rakyat. Dengan penggunaan bahasa kebangsaan proses penyampaian ilmu kepada masyarakat bertambah mudah dan berkesan. Kejayaan hasil daripada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila ratusan ribu ahli ilmu, korporat, professional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang telah berjaya dihasilkan setelah Akta Pendidikan ini diwartakan. Aspek kejayaan sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana kesatuan sikap, pemikiran. Sistem nilai dalam kalangan generasi muda kita. Selain daripada itu, kejayaan dan kepentingan semua ini dapat dilihat oleh pihak sekolah yang berperanan mengajar generasi masa kini bahasa Melayu. Melalui bahasa Melayu juga prasangka buruk antara kaum dapat dielakkan.

            Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kandungan Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka telah diberi kuasa untuk menggubal dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjelaskan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku-buku yang sama dengan sekolah swasta. Penggunaan buku-buku teks dalam bahasa Melayu dan Pustaka bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sastera, Sejarah dan sebagainya merupakan salah satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam bidang pendidikan. Pada masa kini, Dewan Bahasa dan Pustaka semakin mencabar iaitu bagaimana hendak meluaskan lagi penggunnaan serta memperkukuhkan bahasa Melayu daripada rakyat Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai tempat rujukan bagi para pelajar dan golongan pendidik untuk mempelajari bahasa Melayu. Ia turut memperkenalkan perkataan-perkataan baru bersertakan pengertiannya. Melalui media massa, DBP menyalurkan maklumat terbaru kepada umum .

            Bahasa Melayu merupakan salah satu jati etnik dan memberi takrifan sebagai komuniti bahasa. Komunikasi bahasa diertikan sebagai kelompok manusia yang menuturkan bahasa yang sama. Dalam erti kata lain, sekumpulan manusia diterima sebagai komuniti bahasa jika ahli kumpulan itu menggunakan satu bahasa yang sama di dalam hubungan komunikasi mereka. Komuniti am pula adalah sekumpulan masyarakat yang berketurunan sama dan berkongsi nilai-nilai yang sama. Manakala komunikasi bahasa pula merupakan sekumpulan manusia yang berkongsi bahasa yang sama. Bahasa Melayu turut melambangkan kesantunannya. Peningkatan ilmu dan penggunaannya boleh dijadikan pengukur kepada kesantunan bahasa Melayu tersebut. Bahasa Melayu mencakupi ciri-ciri dan nilai-nilai ketimuran berbahasa seperti bersifat budi bahasa, beradab dan memiliki nilai-nilai itulah yang telah dicuba untuk diterapkan dalam kehidupan rakyat yang berbilang bangsa, iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu serta mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat jelas semasa musim perayaan. Tradisi kunjung-mengunjung antara jiran yang berbilang kaum dengan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Begitu juga amalan bergotong-royong, menghadiri majlis perkahwinan dalam budaya pelbagai kaum serta sambutan rumah terbuka yang diadakan di tempat masing-masing. Amalan bergotong-royong dalam masyarakat menunjukkan sikap bermasyarakat yang baik. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Melayu iaitu bahasa yang mudah difahami. Bahasa Melayu turut dijadikan sebagai bahasa perhubungan antara kaum yang berbilang bangsa. Dengan menguasai komunikasi berbahasa ini, hubungan yang baik akan mudah terjalin. Amalan hormat-menghormati dan sikap toleransi antara kaum perlu diamalkan sekiranya kita ingin melihat perpaduan terlaksana.


















                   








No comments:

Post a Comment